Tokoh akademik terkemuka berharap budaya Shinkansen dapat dipupuk di Malaysia

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1450640

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Seorang ahli akademik terkemuka amat mengharapkan Malaysia memiliki prasarana kereta api laju Shinkansen Jepun, dengan menyatakan ia akan banyak membantu kita maju kehadapan dalam semua aspek budaya berfikir rakyat Malaysia terutamanya dari segi disiplin, kebersihan, ketepatan masa dan kecekapan.

Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, yang merupakan Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, berkata orang Jepun mempunyai kelebihan berbanding bangsa lain dalam dimensi ini kerana mereka dapat menggabungkan bersama-sama teknologi dan budaya.

“Bagi saya itulah bahagian yang menarik bagi orang Jepun, bukan kerana mereka adalah orang Jepun tetapi nilai-nilai yang mereka ada yang orang lain barangkali masih bergelut untuk mencapainya,” katanya kepada Bernama.

Jepun, yang mencipta kereta api laju lebih 50 tahun lalu, turut membida untuk projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bernilai RM50 bilion yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura yang disebut-sebut sebagai projek prasarana terbesar Asia Tenggara.

Bidaan antarabangsa bagi projek tersebut, yang akan dibiayai oleh Malaysia dan Singapura dijangka diserahkan pada pertengahan tahuni ini dengan kontraktor yang berjaya dijangka diketahui pada akhir tahun.

Prof. Dzulkifli berkata sekiranya bidaan Jepun berjaya dan menjadi yang pertama di rantau ini, perkara yang paling penting bagi negara penerima adalah melatih rakyatnya untuk membiasakan diri dengan teknologi tersebut.

“Sering kali orang bercakap tentang latihan dalam erti kata yang sangat generik tetapi bagi projek yang bersifat khusus seperti ini, saya rasa kita perlu mengetahui apakah jenis latihan yang kita perlukan. Adakah hanya latihan teknikal semata-mata atau ia lebih daripada sekadar latihan teknikal?

“Saya berani mengatakan bahawa kita perlu melakukan lebih daripada sekadar latihan teknikal kerana pengalaman keseluruhan Shinkansen adalah satu pengalaman budaya. Jadi, anda ada kereta api teknikal tetapi dari segi budayanya anda tidak mengetahui bagaimana sebenarnya untuk mengendalikanya, jadi saya rasa kita akan berdepan masalah kemudian nanti,” katanya.

Prof. Dzulkifli juga menyenaraikan beberapa nilai Shinkansen yang amat positif yang bukan hanya sekadar pengalaman menaiki kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, termasuk berkelakuan senyap dalam kereta api.

“Apabila anda menaiki Shinkansen terdapat koc yang dipanggil ‘Silent Coach’ dan anda langsung tidak boleh membuat sebarang bunyi dalam koc itu. Itu adalah antara perkara yang kita perlu beri perhatian kerana ia adalah satu pengalaman,” katanya.

Satu lagi aspek Shinkansen adalah adalah sifar kematian dan ketepatan masa.

Beliau menyatakan bagaimana orang Jepun pada satu tahap malahan meminta maaf kerana kereta api berlepas 20 saat lebih awal daripada jadual, sambil menambah disebabkan di Malaysia budaya dan teknologi diasingkan, “kita tidak pernah meminta maaf walaupun kita lewat 20 jam!”.

Menegaskan kepentingan menggabungkan budaya dan teknologi, beliau berkata, sebenarnya budaya Jepun dan Malaysia tidak jauh berbeza kerana rakyat di kedua-dua negara sangat sopan dan menghormati orang lebih tua dan memiliki nilai-nilai ketimuran.

“Tetapi apa yang menjadi sukarnya adalah kita tidak mengamalkannya. Mereka mempraktiskannya dengan sangat terperinci. Kita tidak mengamalkannya. Jadi, kita tidak memiliki mentaliti negara maju. Kita ada semua pembangunan fizikal di sekeliling kita, tetapi kita masih berada di tahap yang sama seperti 60 tahun lalu sebelum kemerdekaan,” kata Prof. Dzulkifli.

Beliau berkata adalah sewajarnya bagi Malaysia untuk menerima tawaran Jepun untuk menubuhkan pusat latihan di beberapa universiti tempatan bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan sistem HSR.

Dalam perkara ini, Malaysia telahpun memiliki kelebihan ‘platform yang baik’ dari segi bekerja dengan orang Jepun selama lebih 30 tahun lalu di bawah dasar Pandang Ke Timur dan Shinkansen akan menjadi satu lagi bahagian teknologi yang tidak sukar untuk diterima pakai.

“Rakyat Malaysia tidak seharusnya terlepas peluang ini,” katanya.

— BERNAMA

You may also like...