BERITA : Tawaran Ekuiti HSR Japan Kepada Syarikat Malaysia, Singapura

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Syarikat Jepun akan menawarkan penyertaan ekuiti yang besar kepada rakan kongsi tempatan, selain mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bidang, sekiranya berjaya mendapatkan tender projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

DR MAKIO MIYAGAWA – Japanese Ambassador to Malaysia

Duta Besar Jepun ke Malaysia Makio Miyagawa berkata projek itu akan mencetuskan ledakan besar bagi syarikat Malaysia dan Singapura, termasuk dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana.

“Pelaksanaan projek rel kereta api seperti HSR, akan membuka ruang untuk penyertaan besar-besaran di peringkat tempatan, terutama dalam pembinaan bangunan infrastruktur berskala besar.

“Untuk projek ini, kami mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama syarikat tempatan di Malaysia dan Singapura. Jajaran kereta api akan memerlukan pengetahuan teknologi yang sudah dimiliki secara menyeluruh oleh syarikat-syarikat infrastruktur Jepun.

“Kerjasama antara industri tempatan dan rakan Jepun menetapi dasar kami, dan merupakan komponen penting dalam pembangunan infrastruktur kukuh bagi projek berteknologi tinggi seperti itu,” kata Miyagawa kepada Bernama.

Beliau juga mengulangi pendekatan dan komitmen asas Jepun untuk memaksimumkan penyertaan tempatan dalam pembinaan projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara itu.

“Syarikat yang akan ditubuhkan di Malaysia dan Singapura, akan mempunyai penyertaan bersama industri Jepun dan tempatan. Kami sangat gembira mendapatkan penyertaan dan perkongsian kukuh dalam operasi dan pengurusan pada masa akan datang,” kata Miyagawa.

Duta Besar juga memebrikan gambaran yang lebih besar mengenai pelaburan di Malaysia yang sudah melebihi setengah abad.

Miyagawa berkata: “Pengumpulan pelaburan langsung asing ke Malaysia terus merupakan yang terbesar. Industri terus melabur di Asia Tenggara walaupun semasa Krisis Kewangan Asia pada 997, dan bekerja sama dengan industri tempatan untuk mencari jalan keluar.

“Begitu juga, industri kami akan meneruskan kehadiran mereka di pasaran Malaysia dan meneruskan kerjasama dengan industri Malaysia.”

Beliau berkata syarikat-syarikat Jepun telah mula membayangkan beberapa entiti Malaysia bagi kemungkinan usaha sama, dan telah mendapat respon yang sangat positif daripada rakan kongsi berpotensi.

“Pintu masih terbuka luas kepada syarikat tempatan lain, termasuk PKS. Saya yakin terhadap kemungkinan mewujudkan perkongsian padu dan baik antara industri Jepun dan rakan Malaysia dan Singapura,” katanya.

Menurut Miyagawa, bidaan HSR Jepun didatangkan dengan teknologi terbaik, kos yang menguntungkan, selain pakej kewangan.

Jepun mencipta sistem kereta api berkelajuan tinggi pertama di dunia lebih 50 tahun lepas, dan berjaya tanpa mengorbankan nyawa sejak itu. Untuk tawaran ini (HSR), kini mengetengahkan sistem Shinkansen yang terkenal di dunia, yang turut melibatkan pembangunan perbandaran baharu di sepanjang landasan HSR seperti di negara itu.

Ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk penduduk tempatan, malah menjadi dorongan untuk pertumbuhan di Malaysia dan Singapura.

Di Jepun, stesen Shinkansen merupakan pusat pertumbuhan kedai runcit, kediaman dan perkilangan di sekelilingnya.

“Kami mahu melihat kejayaan yang sama di Malaysia dan Singapura seperti yang kami laksanakan di Malaysia sejak 60 tahun lepas menerusi hubungan dua hala, semua perkembangan ini boleh dijangkakan sekiranya Shinkansen dipilih,” kata Miyagawa.

Tawaran untuk projek HSR KL-Singapura akan dikemukakan pada pertengahan tahun ini dan pembida yang berjaya dijangka diketahui menjelang akhir tahun.

China, Korea Selatan dan Perancis juga dijangka mengemukakan bidaan masing-masing bagi projek bernilai antara RM50 bilion dan RM60 bilion itu.

Projek usaha sama antara Malaysia dan Singapura itu dijangkakan beroperasi pada 2026.

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1427486

You may also like...